Sunday, April 6, 2008

Pengurusan Korikulum

5.1 Pengurusan Kurikulum
Sekolah yang berkesan, biasanya lahir dan terbit daripada pengurusan yang berkesan. Ini bermakna pengetua atau guru besar hendaklah menjadi seorang penjana sumber manusia
yang menjalankan pentadbiran dan pengurusan yang berkesan. Menurut Little and Bird (1987), pengetua yang berkesan hendaklah mempamerkan kualiti-kualiti kepimpinan yang tinggi dan mempunyai kemahuan yang tinggi untuk memimpin, dapat menangani segala cabaran dan dugaan. Ini termasuklah dapat menyelesaikan masalah yang berlaku di kalangan subordinatnya secara baik dan berhemah. Ini bermakna kepemimpinan sekolah menuntut kewibawaan dan keunggulan pemimpinnya.

Umumnya melihat seorang pengetua atau guru besar lebih dominan sebagai pemimpin pentadbiran. Ini kerana tidak banyak warga pendidikan sendiri yang melihat fungsi mereka daripada perspektif pemimpin kurikulum. Dalam menjalankan tugas kepimpinannya, pengetua dan guru besar tidak boleh lari daripada menjalankan tugas seperti mengatur dan melaksanakan jadual waktu dan kalendar sekolah, mengawasi SPBT, surat menyurat, mengagih dan mengawasi kerja-kerja kerani, mengumpul dan menyusun data, memastikan undang-undang dan peraturan sekolah dipatuhi oleh pelajar, mengurus perbelanjaan sekolah, memastikan kemudahan dan harta benda sekolah digunakan sebaiknya, dan menjalin hubungan antara sekolah dan pelbagai organisasi luar (Zaidatul Akmaliah, 1991).
Walaupun tugas yang dikemukakann ini nampak tidak begitu spesifik kepada kurikulum, namun ianya telah terangkum dalan tugas pertama mengatur dan melaksana jadual waktu dan kalendar persekolahan. Dalam sub bidang inilah tulang belakang fungsi sekolah dilaksanakan. Cuma gaya pelaksanaannya sahaja yang berbeza serta dibatasi oleh kecekapan dan akauntabiliti seseorang pengetua atau guru besar.
Manakala Hanafi Kamal (1980) telah mengariskan lapan tugas utama pengetua dan guru besar. Salah satunya ialah pengetua dan guru besar menjalankan tugas sebagai pemimpin kurikulum pengajaran. Hakikat ini menjadikan mereka perlu melaksanakan tugasnya sebagai ketua dan arif dalam hal-hal kurikulum mata pelajaran dan pengajaran guru. Tanpa pengetahuan yang benar-benar mantap, maka akan terjadilah ‘disfunction’ dalam salah satu tugas yang tersenarai di atas.
Menurut Robiah Sidin (1989) pula menyatakan bahawa terdapat enam bidang tugas pengetua dan guru besar iaitu perhubungan sekolah-masyarakat, perkembangan kurikulum dan pengajaran, pengurusan murid, pengurusan kakitangan, pengurusan bangunan dan kemudahan-kemudahan lain dan pengurusan kewangan. Peranan sebagai pemimpin kurikulum menduduki senarai kedua dari pandangan beliau dan ini adalah wajar kerana pengetua atau guru besar akan lebih cekap mengurus aspek-aspek lain sekiranya beliau cekap memimpin guru-guru melaksanakan pengajaran yang sepatutnya diterima oleh murid-murid. Ini kerana tugasan lain itu semuanya bersangkutan dengan tugas yang dimaksudkan ini.
Pengurusan kurikulum adalah merupakan satu tingkat pengurusan yang penting dalam organisasi sekolah kerana penilaian masyarakat kini terhadap kemajuan sesebuah sekolah adalah terletak kepada pencapaian serta keunggulannya dalam akademik. Baik dan maju akademiknya maka majulah sekolah tersebut dan begitulah sebalik, buruk akademik maka mundurlah sekolahnya. Selain itu pengurusan kurikulum juga adalah merupakan nadi dalam pengurusan sekolah, maka seseorang pemimpin sekolah iaitu guru besar atau pengetua perlu memberikan keutamaan dari segi peruntukan kewangan, pelaksanaan program, penyeliaan dan pemantauan serta segala aktiviti yang menyokong kepada kecemerlangan pengajaran guru-guru di bilik darjah.

No comments: